Fatin, Farha & Noni Tidak Kecewa

Setelah tiada pusingan penyingkiran pada konsert ketiganya minggu lalu, Astro meneruskan tradisi 'kejutan' untuk program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5) dengan menyingkirkan tiga peserta sekaligus iaitu, Mohd Farha Jasmen (Farha), Nurul Fatin Yahya (Fatin) dan Nonny Nadirah Zainuddin (Noni) pada konsert keempat program itu Sabtu lepas.

Ada yang berpuas hati, dan tidak kurang juga yang merasakan penyingkiran tiga peserta sekaligus sebagai tidak adil.

Ketika ditemui pada sidang media khas di Astro siang tadi, ketiga-tiga mereka akui tidak langsung menjangka akan ada penyingkiran serentak itu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Dari kiri Noni, Farha dan Fatin tidak terkilan disingkirkan serentak


"Saya terima penyingkiran ini. Memang agak terkejut bila tiga peserta terus disingkirkan.

"Tapi, mungkin Astro merasakan sudah empat minggu dan pelajar tetap ramai. Jadi, mereka memutuskan untuk singkirkan beberapa peserta terus," ujar Noni ketika diminta akan pendapatnya.

Perkara itu turut dipersetujui oleh Farha yang merasakan 'kejutan' memang bukan perkara asing lagi di dalam program AF ini.



"Apabila saya dan Fatin disingkirkan, memang kami tidak jangka akan ada seorang lagi yang tersingkir. Inilah dia Akademi Fantasia. Tidak timbul isu puas hati atau tidak kerana kami semua memang tidak tahu apa yang akan berlaku.

"Asalkan kami berikan yang terbaik sudah cukup dan terserahlah kepada penonton untuk menilai sendiri," kata jejaka berusia 22 tahun ini.

Dengan penyingkiran mereka bertiga, maka tinggal 10 peserta lagi yang bakal meneruskan perjalanan di dalam program realiti popular itu. Mereka adalah Candra Clement (Candy), Aryanna Najwa Ahmad (Dekna), Nur Heliza Helmi (Heliza), Norsyarmilla Jirin (Mila), Muhammad Aizat Amdan (Aizat), Muhammad Nur Aswad Jafar (Aswad), Gadaffi Ismail Sabri (Dafi), Ebi Kornelis @ Firdaus Yamal (Ebi), Hasfarizal Ayub (Rizal) dan Mohd Shawal Ruslan (Shawal).




Noni akui sukar bawa lagu Siti


Penyingkiran Noni pada konsert minggu keempat lalu memang tidak menghairankan. Kegagalan membawakan lagu popular Datuk Siti Nurhaliza, Pastikan dengan baik telah membawa padah pada Noni.

Perkara itu sememangnya diakui sendiri oleh anak kelahiran Sabah ini.

"Terus-terang, memang saya sukar untuk bawa lagu itu. Pitching pun berterabur. Tetapi malam itu memang saya sudah buat yang terbaik.

"Saya pilih juga lagu tersebut kerana ingin cuba menyanyi lagu Melayu sebab sepanjang tiga minggu di AF, saya tidak pernah membawa lagu bahasa Melayu langsung," kata Noni.

Atas kesilapannya itu, ujarnya, dia menerima keputusan penyingkirannya pada malam itu yang Noni sifatkan sebagai tidak bernasib baik.

Gadis berusia 18 tahun ini juga turut mengulas mengenai label 'gedik' yang dilemparkan kepadanya oleh sesetengah pihak sebagai tidak berasas.

"Terpulanglah kepada orang nak cakap apa, asalkan saya sendiri tahu saya sentiasa menjadi diri saya sendiri. Apapun, saya ingin minta maaf jika ada yang merasakan saya memang berperangai seperti itu," kata Noni lagi.




Suara tidak 'outstanding' punca Fatin tersingkir?

Tidak dinafikan, kekuatan gadis kecil molek ini memang terletak pada suaranya. Setiap kali Fatin membuat persembahan, memang diakui ia tidak begitu mengecewakan.

Namun begitu, ramai yang beranggapan mutu suaranya yang tidak begitu 'outstanding' berbanding peserta-peserta yang lain sehingga akhirnya menyebabkan Fatin tersingkir.

"Saya nak buat macam mana. Jika orang dah cakap saya tersingkir kerana suara saya, saya terima saja pendapat mereka," kata Fatin.

Fatin yang pernah mempunyai pengalaman menyanyi di Danga Bay, Johor selama setahun ini turut menjelaskan mengenai isu pemilihan lagu yang adakalanya dilihat seperti wujud 'rebutan' lagu di antara peserta.

"Sebenarnya, setiap minggu kebanyakan lagu yang diberi adalah semuanya dalam wish list kami. Sebab itulah kadang-kadang penonton nampak macam kami berebut lagu, kerana ada peserta yang mempunyai lagu pilihan yang sama dalam list masing-masing. Itu saja," ujar anak kelahiran Johor ini.



Kritikan juri pembakar semangat Farha

Farha, jejaka yang berusia 22 tahun ini pula tidak pernah berada di tangga terbawah sepanjang berada di dalam akademi.

Namun, tuah tidak menyebelahinya apabila pada minggu keempat yang lalu, Farha turut menjadi mangsa 'SMS' apabila dia menjadi salah seorang yang menerima undian terendah.

Ditanya pendapatnya mengapa secara tiba-tiba, dia menerima undian yang sedikit, Farha berkata tidak langsung tercalit perasaan kecewa di dalam dirinya walaupun gagal mara ke peringkat seterusnya.

Malah, katanya, dia sudah cukup berbangga apabila terpilih untuk menyertai akademi.

"Sebelum masuk akademi lagi saya sudah tanam impian untuk cuba melangkah dengan lebih jauh lagi di dalam bidang ini. Walaupun telah tersingkir, saya yakin saya masih lagi mampu meneruskan perjuangan saya," kata Farha.



Dalam pada itu apabila ditanya tentang kritikan tajam dan pedas oleh juri profesional terhadap para peserta, Farha berkata, dia dan rakan-rakannya tidak pernah berkecil hati dengan komen-komen yang diberikan oleh ketiga-tiga juri itu.

"Kami ambil semua kritikan itu secara positif. Bagi saya sendiri, lagi 'panas' kritikan yang diberikan, lagi membara semangat saya.

"Mereka mempunyai pandangan yang saya anggap bagus untuk kami ambil dan kami cuba perbaiki diri kami dari masa ke semasa," ujar Farha.


Sumber : mSTAR Online




Kata Izalsyah; "Suka tengok Noni nyanyi lagi Jepun."





No comments: