Spiderman 3

BIARPUN filem ketiga Spider-Man belum pun memasuki pawagam, namun cakap-cakap mengenai pembikinan sambungannya yang keempat, kelima dan keenam, khabarnya sudah pun bertiup kencang. Tidak hairanlah, kerana siri filem ini memang mempunyai pengikut yang ramai serta membawa untung besar kepada syarikat penerbitannya.

Di Amerika Syarikat (AS) saja, filem pertama dan kedua Spider-Man berjaya mencatat kutipan hebat iaitu masing-masing RM1.4 bilion dan RM1.3 bilion, yang sehingga saat ini meletakkan kedua-duanya kedudukan ketujuh dan ke-10 carta pecah panggung sepanjang zaman negara itu.

Pada sidang media sempena tayangan filem itu di Los Angeles baru-baru ini, pengarahnya, Sam Raimi memberitahu, pihak Sony Pictures memang akan terus menerbitkan filem adiwira labah-labah yang cukup popular itu. Begitupun, pengarah ini mengaku tidak mempunyai banyak masa untuk memikirkan mengenai pembabitannya dalam sekuel berikutnya.


Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
BAKAL GEGAR: Antara babak Spiderman 3.


Raimi yang mengarahkan semua siri filem itu juga enggan meramalkan sama ada pihak Sony masih mahu menggunakan khidmatnya untuk filem perwira berbaju merah biru itu yang seterusnya. Meskipun begitu, sutradara ini berkata, adalah amat sukar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Spider-Man.

Andainya sang pengarah belum tahu kedudukannya, bintang utama siri filem Spider-Man, Tobey Maguire, turut menyatakan ketidakpastian mengenai pembabitan dirinya dalam filem superhero berkenaan pada masa depan.


Kata aktor berusia 31 tahun itu, dia amat menghargai filem daripada segi hiburan dan dia juga gembira apabila ada pihak membikin filem bagi tujuan membangkitkan kesedaran.

Berdasarkan laporan CNN, aktor ini berkata, dia mungkin akan melakonkan watak Spider-Man dalam siri keempatnya atau sebaliknya. Dia belum memikirkan mengenai perkara itu secara mendalam dan apa yang berlegar di mindanya kini hanyalah berupa buah fikiran.

Laman web Hollywood.com pula melaporkan, Maguire bersedia untuk menyarung seragam Spider-Man untuk kali keempat sekiranya skrip yang dibentangkan nanti cukup meyakinkan. Mengikut perancangan, siri keempat filem ini akan menemui penonton seluruh dunia tiga tahun dari sekarang.

Pada masa sama, Maguire berkata, Spider-Man 3 menyajikan sebuah kisah yang baru lagi segar buat peminat hero yang berasal dari buku komik Marvel itu.

“Orang ramai menyanjunginya dan sanjungan itu membuat dia berasa besar kepala. Lalu, dia mula bersikap sombong, yang menukar rasa pada karektor terbabit, pada saya. Kisahnya menjadi bertambah suram dari situ,” kata bapa kepada seorang anak perempuan, Ruby Sweetheart, 6 bulan, hasil perkongsian hidup dengan tunangnya, seorang pereka barangan hiasan, Jennifer Meyer, 29.

Selain Tobey, turut kembali menyemarakkan Spider-Man 3 ialah Kirsten Dunst (sebagai Mary Jane Watson) dan James Franco (Harry Osborne). Ia juga menampilkan Thomas Haden Church dan Topher Grace, dengan masing-masing memegang watak musuh, Flint Marko / Sandman dan Eddie Brock / Venom.

Spider-Man 3 akan memasuki pawagam negara ini mulai 1 Mei.




Tobey seronok jadi bapa


KATA Tobey Maguire, kehidupannya menuju ke arah yang lebih bermakna sejak dia bertemu Meyer dan kelahiran anak perempuan mereka.

“Saya sudah banyak berubah sejak kehadiran Jennifer dan Ruby. Saya juga amat seronok bergelar seorang bapa. Saya begitu sayangkan anak saya dan rasanya cukup menakjubkan. Seperti yang selalu dikata orang, perasaan itu tidak dapat dibayangkan. Anda perlu melaluinya sendiri untuk mengetahui bagaimana rasanya menjadi bapa,” kata pelakon ini.

Selepas kehidupannya bersama tunang dan anak di rumah bermula, Maguire mendapati dirinya perlu memikirkan beberapa kali mengenai sesuatu tawaran berlakon filem dan aktiviti yang dipilihnya.

“Saya rasa, kesan paling dirasa selepas mempunyai anak kecil ialah pada hakikat di mana sesebuah filem itu bakal menjalani penggambaran, lebih daripada isi kandungan filem itu sendiri, walaupun ia mungkin turut memberikan kesan kepada kandungannya juga,” kata aktor yang turut membintangi The Good German dan Seabiscuit ini.

Pelakon ini menegaskan, dia hanya akan berlakon dalam filem yang disukainya dan tidak akan sekali-kali menerima sesuatu watak hanya kerana wang ringgit. Tegas bintang muda yang menerima bayaran kira-kira RM28 juta untuk watak Peter Parker/Spider-Man buat kali ketiga, dia akan memberikan komitmen kepada projek yang dia punya keyakinan saja.




Info


Filem lakonan Tobey Maguire:

Spider-Man 3 (2007)
The Good German (2006)
Spider-Man 2 (2004)
Seabiscuit (2003)
Spider-Man (2002)
Cats & Dogs (2001)
Wonder Boys (2000)
Ride With the Devil (1999)
The Cider House Rules (1999)
Don's Plum (1998)
Fear and Loathing in Las Vegas (1998)
Pleasantville (1998)
Deconstructing Harry (1997)
Joyride (1997)
The Ice Storm (1997)
The Duke of Groove (1996)
S.F.W. (1995)
Healer (1994)
The Adventures of the Red Baron (1994)
This Boy's Life (1993)



No comments: