Anita Sarawak : Usia Bagai Lautan

BELUM ada riak jemu setiap kali berbicara dengan penghibur yang satu ini. Ada saja khabar yang mahu dikongsi bersama. Sementelah lebih dua bulan bercuti kerana pulang melawat kediaman yang lama ditinggalkan di Las Vegas, Amerika Syarikat, Anita kembali menyusun agenda seninya.

“Tiba saja dari Las Vegas, awal April lalu, esoknya Kak Nita terus terbang ke Langkawi untuk satu persembahan di sana,” katanya, sekali gus membayangkan betapa sibuk kehidupannya sebagai penghibur dewasa ini.

Menyenaraikan jadual kerjayanya sepanjang April ini, sukar untuk menidakkan kekuatan pengaruh Anita yang terus bertahan. Akhir bulan ini, Anita akan terbang ke Hong Kong untuk meneruskan siri Konsert 4 Diva yang pernah dipentaskan di Genting Highlands, sedikit masa lalu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
"Umur ibarat laut, lagi dalam kita menyelam, lagi jauh dasar itu hendak dicapai." - Anita Sarawak


Dua persembahan di Coliseum, Hong Kong, menerbitkan rasa bangga di hati artis berbibir seksi ini kerana bukan calang-calang penyanyi dapat beraksi di pentas yang hebat itu.

“Ini kali pertama Kak Nita membuat persembahan di Coliseum. Sukar membayangkan betapa teruja apabila persembahan itu akan diiringi orkestra yang besar dan terbaik di sana.



“Jika segala perancangan berjalan lancar, kemungkinan persembahan yang sama akan turut dibuat di Macau. Semua itu cukup membuat Kak Nita sibuk tetapi inilah yang dikatakan rezeki,” katanya yang akan terbang ke Hong Kong bermula 24 April ini untuk sesi latihan selama seminggu.

Selesai Hong Kong, siri konsert itu akan mengembara pentas prestij lain seperti Siam Paragon, Bangkok, Australia dan Amerika Syarikat.



Anggap usia ibarat lautan

BARU menyambut ulang tahun ke-55 pada 25 Mac lalu, Anita meraikan hari bersejarah itu bersama suami tercinta, Mohd Mahathir Abdullah dan beberapa teman rapat di sebuah restoran Thai di Las Vegas.

Tidak menyembunyikan usianya - 55 tahun, Anita cuba berfalsafah apabila ditanya mengenai perancangan dan kehidupannya ketika ini.

“Umur ibarat laut, lagi dalam kita menyelam, lagi jauh dasar itu hendak dicapai. Alhamdulillah, pada usia 55 tahun sudah banyak yang Kak Nita capai. Itu semua tidak pernah membataskan Kak Nita untuk terus bergerak dan melangkah ke depan dengan penuh keyakinan.



“Apa yang Kak Nita lakukan hari ini semuanya digerakkan Tuhan. Kak Nita akan teruskan karier seperti biasa, malah ingin melakukan lebih banyak kerja amal kerana itulah impian apabila mengambil keputusan kembali ke Kuala Lumpur tidak lama dulu,” katanya.

Kerja kerasnya ini, kata Anita, secara tidak langsung memberitahu dirinya masih ada kehidupan yang indah tidak kira di mana usia seseorang itu.

“Tidak kira berapa usia sama ada 40, 50 atau 60 tahun sekali pun, masih ada kehidupan untuk kita. Apa yang penting ialah mengambil berat diri sendiri, menikmati kehidupan ini dengan tenang dan Insya-Allah akan memancarkan ketenangan di wajah kita,” kata Anita yang tampil bergaya seperti anak gadis pada pertemuan petang itu.

Bakal tampil dengan wajah baru untuk program bual bicaranya di Astro Ria, Anita juga merancang tampil dengan sitkom yang masih dirahsiakan konsep dan judulnya.

“Jangan ditolak apabila Tuhan sedang memberikan rezeki. Kak Nita tidak terlalu memikirkan soal wang ringgit, yang penting apa yang diamanahkan itu dapat dilunaskan dengan penuh tanggungjawab. Kak Nita ingin menjadikan semua ini sebagai sesuatu yang manis untuk dikenang apabila tiada nanti,” katanya.


Hibur setiausaha hari ini, esok

DIA mempelopori, malah mempopularkan tradisi sambutan Minggu Setiausaha kerana ketika menetap di Las Vegas dulu, Anita akan pulang ke Kuala Lumpur setiap kali April menjelma. Bulan ini, Hotel JW Marriott Kuala Lumpur bakal menyaksikan tiga persembahan Anita - dua persembahan makan tengah hari pada 19 dan 20 April, disusuli persembahan makan malam pada 20 April ini.

Kembali bekerjasama dengan Helen Yap sebagai pengarah muzik, Anita akan membawa peminatnya mengimbau kembali perjalanannya dalam dunia seni menerusi himpunan lagu popular seperti Feelings, Anaklah Ayam, Kitalah Bintang selain medley Bawalah Daku Pergi, Cinta Nan Satu, Cintamu Muzik Di Hatiku dan Asmara.

Menggayakan rekaan pereka terkenal, Calvin Thoo dan Kapas, keseluruhannya Anita akan menyampaikan lebih 15 lagu. Apa yang istimewa, dua peminat setianya akan turut menemani pada acara yang disifatkan Anita sebagai santai dan spontan namun menghiburkan.

“Seronok apabila melihat persembahan istimewa ini semakin berkembang dan memberi banyak peluang kepada artis untuk menjayakannya. Bila difikirkan kembali memang ia memenatkan namun Kak Nita perlu memikirkan konsep berbeza supaya tidak jemu dilihat penonton.

“Kak Nita sendiri banyak berdoa kepada Tuhan supaya diberi kekuatan untuk memberikan persembahan terbaik kepada semua,” katanya yang akan menggayakan set barangan kemas Rafflesia bernilai lebih RM2 juta.



No comments: