AIM 14 : Vokal Terbaik Bukan Milik Siti

LAPAN tahun trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita), Anugerah Industri Muzik (AIM) berada kemas dalam genggaman penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

Bagaimanapun, malam Sabtu lalu, trofi yang diramalkan ramai akan bertahan sekali lagi dalam genggaman penyanyi itu terlerai apabila jatuh ke tangan bintang realiti, Jaclyn Victor atau Jac.

Trofi yang sepatutnya menjadi milik Siti seperti ‘diragut’ kerana penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu memberi persembahan vokal yang cukup mantap menerusi albumnya, Transkripsi.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Jac 'meragut' trofi bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) daripada Datuk Siti Nurhaliza.


Andai Jac memenangi trofi itu pada AIM13, tahun lalu, barangkali keputusan itu diterima dengan hati terbuka kerana dia memberi persembahan yang cukup baik dalam album Gemilang.

Malangnya, seperti ada yang kurang rencah, persembahan Jac dalam album keduanya, Inilah... Jac dilihat seperti tidak mampu mengulangi kegemilangan yang pernah dicipta Gemilang.



Meskipun tewas untuk kategori itu, Siti tidak pulang tangan kosong apabila ‘anak sulung’ terbitan syarikat produksi miliknya sendiri, Siti Nurhaliza Productions itu meraih dua anugerah besar lain.

Transkripsi yang menyatukan nama besar dalam industri hiburan seperti Aubrey Suwito, Jenny Chin, Mac Chew, Yasin, Cat Farish, Firdaus Mahmud dan Damian VE itu berhasil meraih anugerah tertinggi AIM14 iaitu Album Terbaik.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Siti membawa pulang gelaran Album Terbaik menerusi Transkripsi.
(Sumber Foto : mSTAR Online)



Untuk kategori itu, Transkripsi menewaskan tiga album lain iaitu Sang Pencinta daripada M Nasir, Syahda Berdendang (Syura) dan Bahagia Berkasih (Ahmadi Hassan).

Produksi sulungnya itu turut dinobatkan sebagai Album Pop Terbaik, menewaskan empat finalis lain iaitu Alam Maya (Noryn Aziz), Harapan (Fazli Zainal), Inilah... Jac (Jaclyn Victor) dan Kurnia (Aishah).

Selain kemenangan mengejut Jac untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita), keputusan AIM14 yang lain tidak banyak tersasar daripada ramalan ramai.



Kemenangan Juwita... Citra Terindah sentuhan M Nasir untuk kategori Lagu Terbaik sememangnya sudah dijangka, apatah lagi sifu industri muzik itu turut mempertaruhkan dua lagi karyanya, Sang Pencinta dan Tujuh Nafas Lagi.

M Nasir turut meraih satu lagi kemenangan menerusi Album Pop Rock Terbaik, namun gagal untuk membawa pulang trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki) apabila kemenangan berpihak kepada Reshmonu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
M.Nasir tetap terharu apabila karya-karyanya masih mendapat sambutan di kalangan pendengar.
(Sumber Foto : mSTAR Online)



Bagaimanapun, penyanyi yang sedang mencari pelakon wanita untuk filem terbarunya, Aduh Saliha itu pernah dua kali mengungguli kategori itu pada 2000 menerusi album, Srikandi Cintaku dan 2002 dengan Phoenix Bangkit.

Ia adalah kemenangan kedua Reshmonu untuk kategori terbabit kerana sebelum ini, Reshmonu pernah unggul pada 2004 menerusi album sulungnya, Monumental.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Reshmonu tetap berpuas hati dengan anugerah Vokal Lelaki Terbaik walaupun tewas di kategori Album Inggeris Terbaik.
(Sumber Foto : mSTAR Online)



Kemenangan artis berpengalaman, Sean Ghazi dalam kategori Artis Baru Terbaik menewaskan Bob, Farhan, Fazli Zainal dan Izwan Pilus juga sudah diduga.



Sean yang mempertaruhkan album Semalam menerima lapan pencalonan untuk AIM14 menerusi lima kategori. Bagaimanapun, penyanyi itu terpaksa berpuas hati apabila hanya mampu membawa pulang dua kemenangan termasuk Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu.

Selepas beralih ke tangan VE pada AIM13, trofi Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album kembali berada dalam genggaman Raihan.

Kumpulan nasyid popular itu pernah empat kali memenangi trofi itu, bermula 1999 menerusi album Syukur. Tahun ini, mereka berdepan dengan saingan dua lagi kumpulan nasyid, Firdaus dan Hijjaz selain Khafi dan KRU.

Kejayaan Samsons meraih trofi Album Indonesia Terbaik juga bukan sesuatu yang mengejutkan. Naluri Lelaki yang pernah meraih lima pengiktirafan pada malam Anugerah Muzik Indonesia (AMI) menyambung kejayaannya di AIM14.

Album itu menewaskan empat calon lain iaitu Jiwaku (Ruth Sahanaya), Republik Cinta (Dewa 19), Selalu Ada (Ari Lasso) dan SO7 (Sheila On 7).



Calon ‘underdog’, Pete Teo yang mempertaruhkan album Television tanpa disangka membawa pulang tiga trofi termasuk dua kategori teknikal. Television juga dinobatkan sebagai Album Inggeris Tempatan Terbaik.

Tidak melupakan jasa serta sumbangan besar Freddie Fernandez kepada pembangunan industri muzik, AIM14 menganugerahkan Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management itu dengan trofi Anugerah Wirama.

Pengiktirafan itu adalah yang kedua buat bekas vokalis The Revolvers itu yang menerima Anugerah Nadi Cipta pada malam Anugerah MACP, pertengahan April lalu.


Lauk Tambah; Jac Terharu Siti Ucap Tahniah!



Fakta

Senarai Pemenang AIM 14


Album Terbaik: Transkripsi (Siti Nurhaliza)

Lagu Terbaik: Juwita... Citra Terindah (M Nasir)

Album Pop Terbaik: Transkripsi (Siti Nurhaliza)

Album Pop Rock Terbaik: Sang Pencinta (M Nasir)

Album Pop Etnik Terbaik: Syahda Berdendang (Syura)

Album Nasyid Terbaik: Bahagia Berkasih (Ahmadi Hassan)

Album Hard Rock Terbaik: Gothik Malam Etnik (Search)

Album Indonesia Terbaik: Naluri Lelaki (Samsons)

Album Inggeris Tempatan Terbaik: Television (Pete Teo)

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki): Reshmonu

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita): Jaclyn Victor

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album: Raihan (Tawakal)

Artis Baru Terbaik: Sean Ghazi

Artis Inggeris Tempatan Baru Terbaik: Dragon Red

Video Muzik Terbaik: Lost In America (Jordan Suleiman/Pete Teo)

Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu: Semalam (Vivian Chua/Sean Ghazi)

Rakaman Album Terbaik: Analogi (Alip, Mamak, Omi, Kamal, Zairie/Kristal)

Kulit Album Terbaik: Television (Marcus Ericsson/Pete Teo)

Anugerah Wirama: Freddie Fernandez



No comments: