Tuah Mirip Datuk Siti

WAJAH dan gaya pertuturannya saling tidak tumpah seperti Bintang Pantene asal Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Barangkali tuah memiliki wajah seiras Siti membawa rahmat kepada gadis manis ini apabila dia dinobatkan sebagai Bintang Pantene yang baru.

Nama Rafidah Ibrahim tidak langsung disebut-sebut bakal menjadi juara. Ke semua tujuh finalis yang tewas meramalkan sama ada Nurul Azni Mohd Jesmi atau Rusdiana Rusdi bakal bergelar Bintang Pantene.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Bintang Pantene, Rafidah Ibrahim bersama Datuk Siti Nurhaliza


Bagaimanapun keputusan yang diumumkan Datuk Siti Nurhaliza mengejutkan kebanyakan peserta apabila nama Rafidah dinobatkan sebagai Bintang Pantene. Gadis manis dari Kampung Baru ini dilihat mempunyai peluang cerah untuk bergelar juara kerana perwatakan menarik yang bercirikan wanita Timur.

Terlebih dulu di awal program yang dipancarkan secara langsung dari Studio Finas, Nurul Azni disingkirkan meninggalkan Rusdiana dan Rafidah berentap untuk merebut gelaran Bintang Pantene, sebuah loket dan wang tunai bernilai RM10,000.

Sebelum itu, mereka dikehendaki menjawab soalan menguji minda yang diajukan Siti Nurhaliza serta Pengurus Media Procter & Gamble (P&G), Ivy Sam.

Rafidah, penuntut Kolej Shahputra, Kuantan akan menggunakan wang kemenangannya untuk mengadakan kenduri kesyukuran. Kemenangan itu katanya mungkin berkat dan doa orang tuanya.

Gadis berusia, 21, tahun itu berkata setiap kali diberikan tugasan dia melakukannya dengan yakin. Namun, tidaklah bermaksud dia juga yakin bakal menang mudah.



“Sebelum ini memang saya rasa yakin tetapi apabila keputusan hendak diumumkan keyakinan itu serta merta hilang.

“Selama 12 minggu mengharungi cabaran dan tugasan, tidak pernah sekali pun saya menang. Saya sudah cuba lakukan yang terbaik, bagi saya semua peserta ada kelebihan masing-masing.

“Semua pengalaman yang saya timba di dalam program ini adalah kenangan manis buat saya yang tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila. Program ini banyak membantu saya meningkatkan keyakinan diri,” katanya yang minat menyanyi.

Anak bongsu daripada 12 adik beradik ini memasang impian untuk bergelar seorang penyanyi. Andai ada tawaran yang datang bergolek, dia pasti tidak menolak kerana terlalu meminati bidang itu.

Namun, Rafidah tidak pernah terfikir untuk menyertai program realiti dan hanya program Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene program realiti pertama yang disertainya.



Rusdiana, 22, pula sedikit kecewa kerana ketika sudah hampir di garis penamat, dia kecundang. Katanya, ciri-ciri ketimuran dan kesopanan yang ditonjolkan Rafidah mungkin bonus buat temannya itu.

“Mungkin P&G mencari wanita yang bercirikan ketimuran, mungkin karakter saya yang moden dan terlalu berterus terang menyebabkan saya tewas.

“Sedih mestilah sedih, apatah lagi tinggal sedikit lagi. Tidak mengapalah mungkin tiada rezeki namun saya tetap bersyukur kerana berjaya berada sampai tahap ini.

“Saya menyertai program ini pun sebenarnya untuk mencuba sesuatu yang baru. Sebelum ini saya pernah menyertai uji bakat sebagai pelakon dan bergelar model,” kata graduan Komunikasi Media itu.

Penyingkiran secara langsung pada peringkat akhir menyebabkan Nurul Azni , 22, sukar untuk menerima kenyataan kekalahannya.

“Sebelum ini penyingkiran dibuat tidak secara terbuka, tapi giliran saya pula disiarkan secara langsung di kaca televisyen menyebabkan saya mengambil masa untuk memujuk diri.

“Berada sampai tahap tiga yang terbaik tentulah harapan untuk menang tinggi. Walaupun tewas, saya tetap puas hati kerana saya memenangi kebanyakan cabaran sepanjang 12 minggu program ini berlangsung,” katanya.

Ivy Sam pula berkata, penentuan pemenang bukan saja dinilai pada pertandingan akhir tetapi setiap peserta diawasi sejak awal hingga terakhir. Beliau dan Siti Nurhaliza sebulat suara memilih Rafidah bukan kerana wajah tetapi kecantikan luaran dan dalamannya.

Rafidah akan mengikat kontrak selama setahun sebagai Bintang Pantene dan bakal muncul di dalam iklan syampu terkemuka itu.



Profil

Nama: Rafidah Ibrahim

Tempat Lahir: Kuala Lumpur

Tarikh Lahir: 4 Jun 1986

Adik Beradik: 12 daripada 12

Suka: Menyanyi dan Tersenyum



Sumber : Berita Harian Edisi 14-03-07




Kata Izalsyah; "Eh, serupalah!"


No comments: