Diana Naim Boikot Wartawan?

SEBUT saja nama Diana Naim atau Ina dan Diana Rafar (Diana) tiada lain yang terlintas di fikiran umum selain Mawi.

Dua gadis ini pernah hadir di hati artis paling popular itu sehinggakan timbul kontroversi kerana Diana berhubungan dengan Mawi di saat anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai Johor itu masih bertunang dengan Ina.

Itu sejarah silam, lagipun Mawi bukan saja dikaitkan dengan Diana, pada waktu sama dia turut dikatakan menjalinkan hubungan mesra dengan ramai selebriti, antaranya Marsha.

Photobucket - Video and Image Hosting
Dua Diana. Diana Naim (kiri) bersama Diana Rafar (kanan)


Pernah juga timbul gosip Mawi cuba memikat bintang prelude Akademi Fantasia musim ke-4, Leez dan terbaru hubungannya dengan pelakon drama bersiri Kawan, Ekin, yang dikatakan mendapat restu keluarga.

Walaupun banyak cerita kurang menyenangkan dikaitkan dengan mereka berpunca daripada Mawi, namun kedua-duanya tidak pernah bermusuh.

Ia dibuktikan apabila dua artis popular ini kali pertama ditemukan di majlis pertunjukan fesyen Batik Extravagaza sempena pembukaan semula pusat beli-belah The Weld.



Lebih menarik, sewaktu mengikuti acara Mesra Sokmo Cit-Cat Azwan di Kuala Terengganu bermula 23 hingga 26 Disember lalu, mereka menginap satu bilik.

Pasti kedua-dua artis ini seronok duduk bersama dan ini memberi peluang mereka bercerita panjang mengenai sejarah lalu terutama pengalaman pahit bersama Mawi.

“Buat apa hendak bercerita mengenai orang lain. Ia tidak memberikan apa-apa keuntungan. Sudah-sudahlah tu. Jangan kaitkan kami dengan Mawi, tiada faedah yang kami dapat.

“Ia akan membuatkan orang luar lebih membenci kami,” kata Ina keras, apabila diusik wartawan kerana ditempatkan sebilik dengan Diana.

Jelas Ina lagi, buat masa sekarang dia tidak mahu lagi bercerita atau cuba dikaitkan dengan Mawi, dengan alasan peristiwa putus tunang dengan jejaka yang pernah bertakhta di hatinya sudah lama berlalu.

“Lagipun sekarang ini masing-masing sudah punya kehidupan dan kerjaya sendiri yang perlu diuruskan. Tidak perlulah lagi nama saya dikaitkan dengan Mawi. Nama saya sekarang Diana Naim dan bukan Ina Mawi,” katanya.

Ketegasan membabitkan isu ini turut ditunjukkan Ina dengan menjelaskan dia mengambil keputusan untuk memboikot satu akhbar tabloid dan wartawannya kerana menyiarkan berita mengenai dirinya dengan Mawi.

“Sudah berpuluh kali dijelaskan saya sudah tiada kena mengena dengan Mawi, tetapi wartawan akhbar itu sewenang-wenangnya mengubah kenyataan selepas menemubual saya dan cuba mengaitkan saya dengannya.



“Saya serius mengambil tindakan ini kerana tidak mahu nanti orang meluat dan menuduh saya sengaja menjaja cerita semata-mata mahukan populariti. Satu perkara lagi, saya tidak mahu menambahkan lagi kebencian peminat Mawi terhadap saya.

“Dalam waktu sama saya sendiri tiada masa hendak melayan perkara yang tiada kaitan dengan kerjaya seni.

“Album sulung saya, Duhai Hati, menuntut lebih perhatian. Alhamdullilah, setakat ini sambutan peminat terhadap album ini agak baik. Empat bulan di pasaran ia sudah mencecah 7,800 unit. Permintaan untuk mengadakan persembahan juga banyak,” katanya.

Diana yang mendengar apa yang diperkatakan Ina turut mengangguk tanda setuju. Bagi Diana sendiri tiada gunanya nama mereka dikaitkan dengan Mawi sekiranya ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan.

“Kami cuba bertindak profesional dalam bidang ini. Maklumlah, dunia hiburan ini kecil. Macam mana kita mengelak pun pasti suatu hari akan bertemu.

“Seperti hari ini, tanpa sedar rupa-rupanya penganjur menempatkan kami dalam satu bilik. Mahu atau tidak kami harus tinggal bersama, tetapi memang sejak dari awal saya dan Ina tidak ada sebarang masalah.

“Cuma yang tidak sedapnya apabila ada pihak membuat andaian yang bukan-bukan. Tidak manis begitu, sedangkan kami tidak pernah bermusuh, tetapi apabila ada yang mengusik dan menggiat, takut pula timbul rasa kurang senang antara kami,” katanya.

Diana sendiri bersetuju dengan tindakan Ina apabila gadis kelahiran Felda Sungai Ara, Kota Tinggi itu memboikot wartawan semata-mata bagi memastikan namanya tidak lagi dijadikan bahan kontroversi bagi melariskan akhbar tabloid terbabit.

“Sekiranya saya berada di tempat Ina, mungkin saya akan mengambil tindakan sama. Saya sendiri memang sudah lama tidak memberikan kerjasama dengan wartawan dimaksudkan kerana etika kerjanya yang saya anggap tidak profesional. Saya hairan mengapa wartawan lain tidak begitu apabila menulis artikel kecuali dia,” katanya.



Bercerita lanjut mengenai apa yang dibualkan sepanjang empat hari duduk bersama, kata Diana, mereka lebih banyak membicarakan soal kerjaya.

“Saya tanya Ina bagaimana kehidupannya selepas bergelar artis. Dalam waktu sama saya turut bertanyakan mengenai kerjaya seninya adakah berjalan lancar seperti yang dirancang syarikat rakaman.

“Memandangkan saya lebih dulu membabitkan diri dalam bidang seni banyak juga nasihat yang saya berikan. Maklumlah, dalam dunia hiburan ini tidak semua manusia jujur, jadi Ina perlu berhati-hati dan itu jugalah saya katakan kepadanya,” katanya.



Biodata

Ina Naim

NAMA SEBENAR: Nor Diana Mohd Naim
NAMA KOMERSIAL: Diana Naim/Ina
TEMPAT LAHIR: Muar, Johor
TARIKH LAHIR: 19 Mac 1984
UMUR: 22 tahun
TINGGI: 5 Kaki 3 inci
BERAT: 41 kg
HOBI: berkaraoke dan membaca
PENDIDIKAN Sijil Pelajaran Malaysia
ALBUM: Duhai Hati




Diana Rafar


NAMA PENUH: Adiana Abd Rafar
NAMA KOMERSIAL: Diana Rafar
TARIKH LAHIR: 9 Mei 1982
UMUR: 26 tahun
ASAL: Kampung Pandan, Kuala Lumpur
TINGGI: 5 kaki 3 inci
BERAT: 45 kg
HOBI: Mendengar muzik, memerap dalam bilik dan melakukan perawatan spa
DRAMA: Mencari Ibu (waktu itu usianya baru mencecah 5 tahun), Diari, Mimpi, Sempadan Kasih dan terbaru Wrong Number
FILEM: Susuk (masih dalam pembikinan)



No comments: