'Sensasi' TV3 Diharamkan!

PETALING JAYA: Program popular 'Sensasi' terbitan TV3 dilarang disiarkan sama ada secara langsung atau rakaman, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini, menjelaskan lagi kenyataan awalnya minggu lepas.

Keputusan baru ini dibuat oleh satu jawatankuasa membabitkan 14 buah kementerian dan agensi berkaitan.

Jawatankuasa itu berpendapat "program yang berkonsepkan temubual bersama artis-artis mengenai isu-isu sensasi tersebut tidak mencerminkan ciri-ciri moral dan nilai-nilai murni serta tidak menyumbang kepada perkembangan sahsiah yang baik dan ian bertentangan dengan konsep Islam Hadhari."

Photobucket - Video and Image Hosting
Intan & Awal, mungkinkah mereka berdua bakal bergelar 'bekas' pengacara Sensasi?


"Justeru, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK), selaku pengerusi jawatankuasa ini telah mengarahkan bahawa rancangan ini tidak dibenarkan bersiaran sama ada secara langsung mahupun secara rakaman," kata ketua komunikasi korporat SKMM Adelina Iskandar.

Arahan terbaru itu dikeluarkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima, Datuk Farid Ridzuan melalui surat yang bertarikh 23 Febuari 2007, tambahnya.

Media Prima adalah syarikat pemilik TV3 dan beberapa stesen swasta lagi.

Farid dijangka mengeluarkan kenyataannya berhubung pengharaman ini esok.

Jumaat lepas SKMM, dalam kenyataannya, hanya menyebut stesen TV swasta itu dilarang menerbitkan siaran langsung program yang semakin popular itu. Arahan itu dikeluarkan pada 16 Feb.

Suruhanjaya tersebut tidak menyebut larangan terhadap program 'Sensasi' secara rakaman.

Ia juga menyebutkan TV3 harus mematuhi prosedur lazim, yakni mendapatkan kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) jika ia berminat menerbitkan 'Sensasi' secara pra-rakaman.

Pengurus besar hiburan TV3 Azhar Borhan minggu lepas dilaporkan berkata 'Sensasi' tidak diharamkan tetapi rancangan itu bakal dibuat secara rakaman mulai sekarang.

"Keputusan untuk menjadikan Sensasi program pra-rakaman diambil oleh pihak dalaman," beliau dipetik sebagai berkata.

Keputusan suruhanjaya ini diambil selepas kontroversi satu kenyataan ringkas pelakon Rosnah Mat Aris dalam satu slot program tersebut pada 30 Jan.

Dalam program itu, Rosnah berkata "tua ke muda tu? Dah nak mampus ke tidak tu?" dengan membandingkan usianya dengan umur isteri Nabi sebagai menjawab gosip tentang minatnya pada pasangan lelaki yang lebih muda.

Kenyataan sepintas lalu itu, kini disebarkan semakin meluas melalui internet, membangkitkan kontroversi besar sehingga mendorong Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim) mendapatkan salinan rakaman program itu untuk penelitiannya.

Jakim termasuk dalam Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan Siaran Televisyen dan Radio Awam dan Swasta yang membuat keputusan terbaru itu.

Kementerian dan agensi lain antaranya Kementerian Penerangan, LPF dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Warisan Malaysia.

Susulan keputusan terkini, Adelina berkata: "Pihak SKMM akur dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

"Sebagai pengawal selia industri komunikasi dan multimedia, kami akan memastikan agar semua pemegang lesen mematuhi syarat-syarat perlesenan yang dikeluarkan.

"Ini termasuk syarat-syarat untuk siaran langsung mahupun rakaman."

SKMM, sebuah badan berkanun, ditubuhkan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 bagi memantau industri telekomunikasi, penyiaran, internet, perkhidmatan pos dan pensijilan digital.


Sumber : mSTAR Online


Cadang Izalsyah; "Cuba baca yang ni pulak, TV3 akan merayu hidupkan semula 'Sensasi' "




No comments: