AF5 : No More Gegar!

Keputusan di malam konsert ketujuh Akademi Fantasia 5 membuktikan bahawa pengundi lebih 'arif' tentang pelajar kegemaran mereka. Itulah antara yang dapat dirumuskan apabila pelajar yang paling cemerlang didalam akademi Aizat terpaksa mengangkat bagasinya dan meninggalkan akademi buat selamanya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Penyingkiran Aizat adalah satu keputusan yang mengejutkan!



Dan ketika undian ditutup, keputusan juga dilihat adalah diluar jangkaan. Aswad, pelajar yang tertua dalam akademi telah mendahului dengan mendapat undian sebanyak 32%. Belum pernah lagi undian sebanyak ini diterima oleh mana-mana pelajar AF5 sebelum ini.

Mungkin juga 'drama' yang dipentaskan oleh Astro banyak membantu Aswad mengutip undi simpati. Antara sedar atau tidak, Astro telah melakukan satu kejutan yang paling tidak sensitif dan menghibakan apabila semua ibu bapa pelajar dibawa untuk bertemu dengan pelajar ketika Aznil menyanyikan lagu Ayah & Ibu, yang dipopularkan oleh arwah Sudirman Hj Arshad.

Aswad, anak yatim piatu jelas kelihatan terpinga-pinga di atas pentas menahan sebak di dada melihat 'reunion' semua pelajar dengan keluarga sedangkan dia keseorangan. Kakak dan abang Aswad juga tidak dijemput. Strategi apakah ini? Nasib baik Aswad mampu membendung kesedihan hatinya dan apabila tangannya ditarik oleh ibu dan ayah Ebi dan diikuti oleh keluarga lain, ramai yang tidak dapat membendung airmata ketika menyaksikan episod sedih ini termasuklah juri tetap.

Inilah cara Astro 'memperkenalkan' keluarga baru Aswad di Akademi Fantasia - sungguh dramatik dan hilang sensitiviti.



Persembahan Aswad ketika menyanyikan lagu Sudirman, Penyu Menangis dari nukilan puisi J.M Aziz juga memberi kesan positif pada undian yang diterimanya. Penyu Menangis di tangan Aswad berjaya meruntun perasaan dan Aswad hampir-hampir menitis airmatara. Metafora 'Penyu Menangis' juga bagaikan satu foreshadow yang hanya terungkai setelah episod drama sebabak pertemuan anak dan ibu, ayah.

"Saya dapat lihat kesedihan yang bersungguh-sungguh dalam jiwa awak. Awak patut menangis tadi...," kata Hattan memuji Aswad. Di akhir persembahan, Ogy & Fauziah Latiff telah beri lampu biru kepada Aswad.

Kesedihan lagu tersebut senang dijiwai oleh anak muda yang berasal dari Pulau Mutiara ini dan bagi yang mengikuti Diari AF, melihat adegan Aswad sering dimarahi dan dileteri dalam kelas Cikgu Syafi membuat ramai yang simpati dengannya. Dan di akhir persembahan Aswad, Cikgu Fatimah kelihatan menitiskan airmata.




Tiada lagi 'gegar' dalam akademi


Tagline 'Gegar' tidak akan lagi kedengaran di konsert AF minggu depan kerana itulah kehendak pengundi AF5 dan Aizat yang terkenal dengan taglinenya 'Gegar' terpaksa menerima hakikat ini. Walaupun penyokong dan kubu pertahanan Aizat cukup kuat dalam Dewan Sivik, MPPJ, tiada siapa menjangkakan nasib yang menunggu Aizat sebaik undian ditutup.

Pengacara Aznil Nawawi terpaksa menahan emosinya apabila membuat pengumuman yang Aizat terkeluar. Seperti Aznil, ramai juga yang terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh pengundi.

Mungkin juga lagak Aizat di dalam Diari Akademi turut membawa 'musibah' yang terpaksa diterima olehnya. Pelajar yang jarang sekali gagal melunaskan tugasannya setiap minggu telah mendapat empat lampu biru ini oleh tiga juri tetap - Hattan, Ogy Ahmad Daud dan Fauziah Latiff termasuk juri jemputan Salih Yaacob apabila menyampaikan lagu Ada (yang dipopularkan oleh M.Nasir).

Juri turut memuji vokal Aizat yang tidak flat dan tidak sharp. Kemantapan vokal Aizat cemerlang sehingga Hattan berkata dia ingin menyanyi bersama Aizat satu hati nanti.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Aizat sering mempamerkan kemantapan vokal yang cemerlang



Aizat seringkali mempamerkan gelagat yang dilihat sebagai terlalu yakin dengan kemampuan vokalnya. Jika pengkritik dan juga tenaga pengajar amat mengagumi bakat Aizat, pengundi di luar sana bagaikan sudah tawar hati untk melihat pemuda berusia 18 tahun ini beraksi di akademi selepas ini.

Aizat merupakan pelajar kelapan tersingkir dari AF. Selempang biru yang dihadiahkan oleh Hattan ketika Aizat mengucapkan selamat tinggal merupakan satu suntikan semangat untuk Aizat meneruskan karier seninya di luar sana.



Persembahan pelajar banyak peningkatan


Alunan gemersik suara Candy dalam lagu Tari Silat Melayu (Aishah) yang dipersembahkan dengan gerak tari silat berjaya menambat hati juri untuk memberi empat butang biru kepada Candy.

Sungguhpun Candy antara pelajar paling konsisten dan mempunyai tone suara yang merdu, Candy telah terlupa lirik untuk lagu ini. Namun sikap juri agak toleran minggu ini dan kesilapan kecil ini masih berjaya membuat Candy menerima empat butang biru. Ada yang merasakan ini tidak adil!

Nyanyian Rindu Merindu (Fauziah Idris) oleh Heliza menampakkan peningkatan yang ketara dari minggu lepas. Namun Ogy masih tidak puas hati dan memberi komen yang "Heliza, awak masih control cantik...". Namun Hattan dan Fauziah Latiff berpuas hati dengan persembahan Heliza.

Ebi membawa lagu Jamal Abdillah bertajuk Berdendang dalam Tangisan dengan caranya tersendiri. Ogy beranggapan Ebi sudah kehilangan magiknya dan ini dipersetujui oleh juri lain, Ebi tidak mendapat sebarang butang biru minggu ini.

Dafi memberi persembahan yang cukup bertenaga dan menghiburkan dalam lagu Joget Angan Tak Sudah (Jay Jay). Penyampaian Dafi yang menampakkan peningkatan memuaskan hati para juri yang sebulat suara memberi Dafi tiga lampu biru dan dia juga berjaya mengawal vokal dan mencapai note yang lebih tinggi seperti yang disarankan oleh Hattan.



Shawal menepati pesona penjual di kaki lima dalam lagu Joget Kaki Lima, lagu Dahlan Zainuddin yang pernah popular tahun 70-an. Kemeriahan persembahan Shawal begitu menghiburkan dan konfiden sekali. Keyakinan Shawal nampak jelas dan tiga juri -Fauziah Latiff, Ogy dan Salleh Yaakob telah beri lampu biru.

Mila, antara pelajar yang membuat peningkatan drastik sejak kebelakangan ini telah menyanyikan lagu Dondang Dendang (Noraniza Idris) dengan baik sekali.

Pada permulaan konsert, kesemua lapan pelajar telah menyampaikan lagu Joget Pahang dengan pelbagai ragam pakaian kebangsaan Malaysia.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Meriah apabila kesemua lapan pelajar telah menyampaikan lagu Joget Pahang.


Kemeriahan konsert minggu ini dapat dirasakan kerana penonton dianjurkan menjayakan konsert dengan berpakaian sesuai dengan konsep irama Malaysia. Pelajar-pelajar juga telah menyanyikan lagu Joget Si Pinang Muda dalam bentuk koir yang agak menghiburkan. Persembahan ini adalah cetusan idea Cikgu Syafi.

Ramai peminat Aizat, juga tenaga pengajar dan pengkritik AF membidas pengundi AF kerana penyingkiran Aizat yang disifatkan sebagai tidak patut. Ada yang berkata peminat AF buta seni tapi sebenarnya mereka terlupa yang AF penuh kejutan dan keluarnya Aizat adalah satu kejutan yang paling besar setakat ini!










No comments: